KHAMILRADENEMAS

KHAMILRADENEMAS
KHAMILRADENEMAS


Monday, February 14, 2011

AR RAHNU : TALIAN HAYAT USAHAWAN DAN PENIAGA

 SUMBER : BERITA HARIAN


SABTU; 6 November 2010

Ar-Rahnu: Talian Hayat Usahawan Koperasi

Hapuskan unsur riba, gharar sistem pajak gadai konvensional

PINJAMAN cara mudah atau lebih dikenali sebagai hutang kerap menjadi alternative bagi mereka yang terdesak atau memerlukan kewangan segera. Satu cara memenuhi keperluan kewangan sedemikian ialah mendapatkan perkhidmatan pajak gadai.

Perkhidmatannya bersandarkan satu bahan cagaran. Sekiranya pinjaman tidak dapat dijelaskan atau barangan yang digadaikan itu tidak dapat ditebus, ia dikira hangus atau sebagai ganti menyelesaikan hutang.

Aktiviti pajak gadai di Malaysia sudah lama bertapak. Secara umum, wujud dua cara pelaksanaan pajak gadai di Negara ini iaitu pajak gadai konvensional dan pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu.

Pajak gadai konvensional lebih bermotifkan keuntungan. Walaupun Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dan Peraturan-Peraturan Pajak Gadai 1972 bertujuan menjamin industri pajak gadai yang sihat, disamping melindungi kepentingan pengguna, namun pajak gadai konvensional lazimnya mengenakan kadar faedah yang tinggi.

Sehubungan itu Ar-Rahnu diperkenalkan sejajar usaha menghapuskan unsur riba dan gharar dalam sistem pajak gadai konvensional.

Pajak Islam pertama di Negara ini, Muassasah Gadaian Islam Terengganu, ditubuhkan Majlis Agama dan Adat Istiadat Terengganu pada Januari 1992. Penubuhan pajak gadai ini menarik minat Permodalan Kelantan Berhad yang juga anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi mewujudkan Kedai Ar-Rahnu di Kelantan pada tahun berikutnya.

Galakan untuk koperasi terbabit dalam aktiviti Ar-Rahnu bermula apabila Bank Rakyat memperkenalkan muamalat ini dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) pada 1993. Kejayaan dan sambutan menggalakkan daripada masyarakat terhadap inisiatif ini mendorong koperasi lain untuk turut sama menyertainya.

Pemindahan pengalaman dan kepakaran sistem perniagaan Ar-Rahnu Bank Rakyat melalui francais Ar-RahnuX’Change kepada koperasi mulai 2008 menyemarakkan lagi penyertaan koperasi di dalam aktiviti Ar-Rahnu sebagai francaisi.

Bagaimanapun, beberapa koperasi memilih melaksanakan aktiviti ini secara bersendirian, khususnya koperasi pelapor sebelum Ar-RahnuX’Change melebarkan sayapnya kepada koperasi-koperasi lain.

Pembukaan Ar-Rahnu di Negara ini dapat menawarkan kemudahan mikro kredit alternatif secara mudah dan cepat kepada masyarakat terutama golongan peniaga dan pengusaha kecil bagi tujuan modal perniagaan dan aktiviti-aktiviti produktif lain.

Sistem Ar-Rahnu tidak bergantung kepada kadar faedah pinjaman yang sentiasa turun naik mengikut pasaran dan iklim ekonomi. Peminjam akan dikenakan upah simpan berdasarkan harga semasa emas sahaja.

Konsep Ar-Rahnu yang berasaskan syarak tanpa riba menjadi antara sebahagian cirri perkhidmatannya yang menarik ramai pelanggan, malah pelanggan juga dapat berkomunikasi dengan jelas, ruang kemudahan dan rundingan yang luas serta mesra pelanggan yang mana bayaran balik pinjaman dan upah simpan boleh dibuat secara ansuran selain tempoh pinjaman boleh dipanjangkan.

Caj perkhidmatan yang dikenakan juga rendah dan tidak membebankan. Sekiranya peminjam gagal menebus barang gadaian, pengusaha akan membuat lelongan dan hasil lelongan itu selepas ditolak pinjaman, upah simpan serta kos-kos lain akan dipulangkan kepada penggadai.

Selain AGRO BANK, Bank Rakyat dan Koperasi YPEIM Berhad, antara koperasi lain yang terbabit dalam perniagaan ini termasuk Koperasi Permodalan Kelantan Berhad; Koperasi Pekebun Getah Jajahan Kota Bharu, Bachok dan Tumpat Berhad; Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Bada-Badan Berkanun Terengganu (KOKANUN) Berhad serta Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad.

Bagi peniaga kecil yang tidak mempunyai tabungan mencukupi dan sukar mendapat pinjaman daripada institusi kewangan, skim Ar-Rahnu yang ditawarkan koperasi boleh menjadi penyelamat. Malah, skim pajak gadai Ar-Rahnu memiliki kelebihan berbanding pajak gadai konvensional dari segi caj perkhidmatan yang rendah; tiada unsure riba; barang kemas yang disimpan selamat; tiada unsur penipuan sewaktu membuat timbangan dan tempoh bayaran balik yang munasabah.

Usaha meningkatkan lagi penyertaan koperasi dalam aktiviti Ar-Rahnu adalah langkah murni yang mungkin dapat menyelamatkan banyak pihak daripada menjadi mangsa cengkaman ah long.

Di pihak koperasi pula, ini adalah satu cabang perniagaan yang patut diterokai kerana potensi pasaran yang masih luas terbuka dan menjanjikan pulangan konsisten yang terjamin dan selamat bersandarkan cagaran emas.

1 comment: